Ramai MP Umno, BN sokong Anwar -Ahmad Zahid

0
1

Fitri Nizam

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa beliau dimaklumkan ramai Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, beliau berkata, Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli Parlimennya untuk menyokong hasrat Pengerusi Pakatan Harapan itu.

“Sebagaimana diketahui umum, Umno dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli Parlimen sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar yang berhasrat untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Anwar mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Katanya, sokongan yang diperoleh itu terdiri daripada pelbagai parti, namun tidak mendedahkan sebarang perincian lanjut.

Tegas Anwar, beliau telah mendapat perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguh susulan baginda sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). -Malaysiapost