POLIS menafikan kejadian seorang lelaki warga tua parah akibat dipukul di Pulau Nunuyan Laut, di Sandakan ada kaitan dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata kejadian itu sebaliknya cuma pergaduhan akibat mengejek.
Katanya, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu apabila mangsa yang berusia 62 tahun dipercayai dipukul dengan objek keras di kepala dan menyebabkannya cedera parah.
“Siasatan lanjut kemudian mendapati suspek tidak berpuas hati dengan mangsa kerana merasakan mangsa sering mengejeknya setiap kali berjumpa.
“Ini tiada kaitan dengan dakwaan akibat memasang bendera parti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Azhar berkata, mangsa juga sudah membuat laporan polis berkaitan kejadian itu di Balai Polis Bandar Sandakan sebelum polis menahan suspek lelaki berusia 26 tahun di pulau berkenaan, keesokan harinya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman sehingga 26 September.
Semalam, sekeping gambar menunjukkan seorang lelaki cedera di mata tular di media sosial dengan beberapa rakaman suara yang mendakwa mangsa cedera angkara dipukul ketika memasang bendera parti di Pulau Nunuyan. -Malaysiapost

