KENDERAAN yang dinaiki tiga lelaki bersenjata parang yang menyamun seorang jurujual sebuah syarikat pengedar emas di Lebuhraya Besraya, Kuala Lumpur, adalah klon.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin selepas polis melakukan semakan ke atas dua kenderaan itu dan pengesahan pemilik asal kenderaan.
“Berdasarkan siasatan mendapati syarikat mengalami kerugian barang kemas bernilai RM3 juta dan wang tunai RM67,000 serta kenderaan Toyota Hilux yang dibakar bernilai RM70,000.
“Setakat ini polis sudah merakam keterangan lapan individu bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Zairulnizam menyeru orang ramai terus menghubungi polis jika melihat sebarang kejadian jenayah yang berlaku agar tindakan segera boleh diambil.
Sebelum ini dilaporkan, seorang jurujual sebuah syarikat pengedar emas dan rakannya cedera selepas cermin kenderaan dinaiki mereka dipecahkan tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Lebuhraya Besraya.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuchai Lama menghala ke Sungai Besi sebelum dihalang dua pacuan empat roda pada 3.35 petang.
Tiga lelaki yang bersenjatakan parang menghampiri kenderaan mangsa dan memecahkan cermin kenderaan itu sebelum menarik jurujual berkenaan serta rakannya keluar dari kenderaan terbabit. -Malaysiapost

