Anwar dakwa ada sokongan majoriti Ahli Parlimen

0
2

Fitri Nizam

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memiliki sokongan kukuh dan menyakinkan daripada majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan menggantikan kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau berkata, sokongan diterimanya adalah daripada pelbagai parti malah majoriti sokongan diterimanya adalah di kalangan Ahli Parlimen Melayu.

Anwar mendakwa sokongan diterimanya bukanlah majoriti mudah sebaliknya majoriti konklusif yang kukuh.

“Saya diperkenankan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa 22 September namun terpaksa ditangguhkan kerana baginda dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN),” katanya pada sidang media tergempar, hari ini.

Beliau berkata, dengan sokongan majoriti diperolehnya bermakna kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang.

“Maklumat dan langkah selanjutnya akan dimaklumkan selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau pada sidang media itu berkali-kali menegaskan bahawa majoriti sokongan diperolehnya jauh lebih kukuh dan menyakinkan namun akan dipersembahkan kepada Agong terlebih dahulu sebelum ia diumumkan. -Malaysiapost