MENTERI Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon maaf kepada keluarga waris wira negara yang terguris dengan kenyataan berbaur penghinaan terhadap anggota keselamatan yang diucapkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi.
Ia susulan tindakan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu mempersenda anggota keselamatan dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 dengan mengatakan mereka berperang dengan ‘ayam dan anjing’ .
Hishammuddin yang ketika insiden itu adalah Menteri Pertahanan, berkata beliau perlu meminta maaf kerana kenyataan Mohamaddin yang bertanding di DUN Segama, Lahad Datu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini tidak bertanggungjawab.
“Saya ingin meminta maaf kepada keluarga dan waris wira kita yang terkorban di Tanduo. Saya tengok kenyataan beliau (Mohamaddin) tidak bertanggungjawab dan lebih baik dia tanya presiden dia sendiri apa yang berlaku di Semporna kerana ramai yang terkorban di sana.
“Kalau betul ia sandiwara biar presidennya sendiri mengesahkan sama ada ya atau tidak kerana insiden itu juga berlaku di Semporna sendiri. Jadi bagi pihak Mohamaddin saya mengambil kesempatan ini meminta maaf yang amat sangat kepada keluarga dan waris mereka yang terkorban. Kalau mahu berpolitik pun kena ada had dan batasan,” katanya.di Sepanggar, malam tadi.
Hishamuddin berkata, tindakan Mohamaddin itu menunjukkan Warisan dalam keadaan terdesak sehingga sanggup menjadikan pertempuran di Tanduo sebagai isu dengan mengatakan apa yang berlaku pada masa itu sebagai sandiwara.
“Saya tengok mereka terdesak, sudah tiada isu lain dan bila orang mengatakan bahawa mereka membuka ruang untuk pihak tertentu datang dari luar masuk ke Sabah dan memudahkan perjalanan mereka, mereka cuba alih pandangan orang ramai kepada isu yang tak ada asas langsung.
“Memang ini tentunya agenda politik dan berkaitan dengan isu ini tuduhan bahawa kita tak lakukan apa-apa semasa kita memerintah. Saya akan keluarkan kenyataan dan kita senaraikan apa yang kita dah buat di Lahad Datu termasuk membuat kem dan mengatur gerak perkakas dan bala tentera kita ke sini.
“Lebih daripada 10 perkara besar yang kita buat selepas insiden di Lahad Datu. Saya nak tanya kepada Ketua Menteri sendiri, 27 bulan dia memerintah apa yang dia dah buat untuk pastikan keselamatan Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Hishammuddin meminta pengundi di Sabah menilai sikap sebenar pemimpin Warisan yang tidak menghiraukan perasaan anggota keselamatan yang berkorban untuk negara termasuk waris anggota yang terkorban dalam pertempuran di Tanduo.
“Saya minta maaf kepada isteri dan anak anggota yang terkorban. Bayangkan ada anggota keselamatan terkorban itu dicincang, kepala dipancung dan mata dicungkil. Saya tahu sebab saya menteri yang bertanggungjawab ketika itu.
“Saya nak tanya kepada Presiden Warisan sebab dia di Semporna, saya nak tahu sama ada ia sandiwara atau tidak. Mahukah rakyat Sabah biarkan pemimpin yang sebegini,” katanya.
Insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu bermula dengan kehadiran sekumpulan penceroboh bersenjata pada Februari 2013 yang mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu untuk menuntut Sabah daripada Malaysia.
Rundingan dengan pihak keselamatan negara meminta kumpulan berkenaan meninggalkan Sabah gagal menyebabkan situasi bertukar tegang sehingga tercetus pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013 yang menyebabkan dua anggota polis VAT 69 terkorban.
Kemudiannya, enam anggota polis cawangan khas terkorban selepas terperangkap dalam serangan hendap pengganas di Kampung Srijaya, Simunul, Semporna pada hari berikutnya.
Selain mereka, dua anggota tentera turut terkorban ketika terbabit dalam operasi mengesan dan memerangi penceroboh di sekitar Zon Labian, Lahad Datu sepanjang Ops Daulat yang bermula dengan serangan bom dari udara pada 5 Mac 2013 sehingga 1 April 2013.
Dalan satu klip video, Mohamaddin dilihat berucap mengatakan anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi ketenteraan di kawasan itu berperang dengan ayam dan anjing selain menganggap insiden itu sebagai satu sandiwara.
Ucapannya itu menyebabkan beliau dikecam pelbagai pihak sebelum tampil meminta maaf dan membuat kenyataan mengatakan ucapannya dalam klip video itu disalah erti. -Malaysiapost

