Insiden Lahad Datu: Jangan pandang remeh pengorbanan tentera

0
1

Fitri Nizam

SEMANGAT patriotisma anggota tentera dan veteran tidak sepatutnya dipandang remeh oleh ahli politik hanya semata-mata mahu mendapatkan sokongan masyarakat di Sabah.

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berkata kenyataan seorang ahli politik yang mengatakan insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 itu adalah sandiwara merupakan pendapat politik yang tidak bersandarkan mana-mana sumber sahih.

Katanya, kenyataan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah telah mengguris dan menyinggung perasaan veteran ATM yang pernah berkhidmat ketika insiden tersebut berlaku.

“Malah dalam insiden tersebut seorang anggota ATM telah terkorban ketika mempertahankan kedaulatan bumi Lahad Datu dan mustahil anggota yang terkorban ini bersandiwara dalam mendepani ancaman tersebut.

“Semangat patriotisme dan sayangkan negara yang dipamerkan oleh veteran ATM selama ini tidak sepatutnya dipandang remeh oleh ahli politik hanya semata-mata untuk mendapatkan sokongan masyarakat di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

JHEV berkata, semua pihak harus menginsafi bahawa keamanan yang dinikmati pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan yang berterusan veteran ATM dan anggota keselamatan yang lain.

“Justeru, jabatan ini ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan rasa marah dan menyinggung perasaan, seterusnya menyebabkan suasana tidak harmoni yang menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – Malaysiapost