MENTERI Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meluahkan kekecewaan dan geram terhadap pertambahan satu kes lagi membabitkan pemandu mabuk.
“Satu kes lagi awal pagi tadi, memang kita geram!,” katanya menerusi Facebook.
Ia susulan seorang pelajar tingkatan lima maut selepas dirempuh pemandu mabuk di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada awal pagi tadi.
Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, itulah sebabnya Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pada hari ini, Persidangan Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 selepas bacaan kali ketiga. Sebelum ini, RUU ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 Ogos 2020,” katanya.
Katanya lagi, perkhabaran tersebut merupakan berita gembira untuknya dan seluruh warga MOT.
“Ini sesuatu yang amat menggembirakan hati saya dan juga warga MOT.
“Kita semakin hampir untuk merealisasikan hasrat bersama untuk memperkasakan lagi Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya berkaitan pemanduan mabuk, dipengaruhi dadah serta pemanduan secara melulu atau merbahaya,” ujarnya.
Memetik laporan Bernama, secara keseluruhan, pindaan RUU itu akan mengandungi 15 fasal utama.
Antaranya, pindaan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) membabitkan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan iaitu hukuman penjara selama lima hingga 10 tahun dengan denda RM20,000 hingga RM50,000.
Selain itu, pindaan turut dilakukan terhadap Seksyen 44 akta sama membabitkan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kes menyebabkan kecederaan serta kes menyebabkan kematian.
Bagi kes menyebabkan kematian, hukuman yang dikenakan jika sabit kesalahan ialah penjara antara 10 dan 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000 selain hilang kelayakan lesen memandu bagi tempoh 10 tahun untuk sabitan pertama.
Pindaan turut membabitkan hukuman penjara 15 hingga 20 tahun, denda RM100,000 hingga RM150,000 serta hilang kelayakan lesen bagi tempoh 20 tahun untuk kesalahan seterusnya.
Pada masa sama, RUU itu juga mencadangkan pindaan had kandungan alkohol baharu iaitu 22 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter (ml) nafas, 50 miligram (mg) alkohol dalam 100 ml darah dan 67 mg alkohol dalam 100 ml air kencing.- Malaysiapost

