
CIMB Bank Bhd (CIMB) memaklumkan bahawa cawangan mereka di Kota Damansara akan dibuka seperti biasa walaupun lima kakitangannya menjadi kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19.
Bank itu dalam kenyataan ringkas di Twitter berkata, kelima-lima kakitangan tersebut merupakan pasukan Jualan Bergerak CIMB (MSF) kini berada di Hospital Sungai Buloh menjalani ujian Covid-19.
Katanya, mereka ini tidak berhubung dengan kakitangan CIMB Kota Damansara, cawangan dan pusat MSF pula berada di tingkat berasingan walaupun dalam bangunan yang sama.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, bangunan cawangan akan menjalani pembersihan secara menyeluruh.
“Pembersihan dilakukan malam ini untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pelanggan serta kakitangan cawangan kami.
“Anda boleh mengunjungi cawangan kami yang lain atau memilih CIMB Clicks dan BizChannel @ CIMB untuk keperluan perbankan anda,” katanya.
Sebelum itu, syarikat perbankan UOB terpaksa menutup sementara cawangannya di Kepong di Bandar Manjalara sehingga 6 Oktober bagi proses pembersihan selepas seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.- Malaysiapost
