ATM sedia hadapi sebarang ancaman di Sabah

0
4

Fitri Nizam

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) bersedia menghadapi sebarang ancaman termasuk kemasukan besar-besaran pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah dengan tujuan membuat kacau ketika Pilihan Raya Negeri (PRN).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata kawalan sempadan maritim dan darat di seluruh negara termasuk Sabah akan terus diperkukuh sepanjang masa melalui Operasi Benteng (Op Benteng).

“Dengan pembabitan dan kerjasama padu anggota serta aset semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan, ia diaturgerak secara terancang terutama dalam memberi tumpuan kepada aspek kawalan, keselamatan dan kesejahteraan di Sabah bagi melancarkan proses PRN.

“Masyarakat tempatan disaran supaya turut sama menjadi ‘mata dan telinga’ kerana kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama yang tidak hanya digalas pasukan keselamatan semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan maklumat didedahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kemasukan besar-besaran PATI dari negara jiran ke Sabah.

Affendi turut menggesa masyarakat di Sabah supaya bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat pencerobohan PATI dan aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF di talian 011-62511223. – Malaysiapost