Fitri Nizam
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima 35 laporan terhadap Datuk Mohamaddin Ketapi, susulan kenyataannya yang mendakwa insiden pencerobohan Lahad Datu, tujuh tahun lalu adalah sandiwara.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata laporan itu diterima dari seluruh negara sejak semalam.
Justeru, katanya, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman ditugaskan memulakan siasatan berhubung perkara itu.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Semalam, video mengenai ucapan Mohamaddin yang juga calon Parti Warisan Sabah (Warisan) kerusi DUN Segama, tular di media sosial.
Dia mendakwa insiden itu hanya sandiwara sambil menyatakan ia adalah peperangan dengan ‘ayam’ dan ‘anjing’.
Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu kemudian membuat kenyataan maaf secara terbuka selepas menerima kecaman ramai pihak.
Beliau berkata, dia tidak berniat menghina anggota keselamatan, sebaliknya merujuk kepada Barisan Nasional (BN) yang sepatutnya menyelesaikan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah secara mutlak. – Malaysiapost

