ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) amat terkesan dengan kenyataan seorang ahli politik yang mengaitkan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2013, sebagai suatu sandiwara.
Markas ATM menerusi kenyataan sebentar tadi menegaskan tuduhan anggotanya hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing juga adalah tidak benar.
Tuduhan itu juga, katanya, memperlekehkan tugas serta tanggungjawab anggota tentera serta pasukan keselamatan lain dalam mempertahan kedaulatan negara ketika itu.
“Ini kenyataan tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali di mana ia turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban baik ATM mahupun di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Adalah ditegaskan ATM berperanan sebagai benteng pertahanan negara di mana organisasi ini sentiasa bersedia pada sebilang masa dalam melaksanakan tugas terutama mendepani pelbagai ancaman.
“Walau apa pun halangan atau cabaran mendatang, aspek pertahanan negara sentiasa didahulukan bagi mengekalkan kesejahteraan dan kedaulatan negara ini,” katanya.
Markas ATM berkata, pasukan itu yang kini berusia 87 tahun, telah menyaksikan banyak darah, pengorbanan dan keringat mereka terdahulu yang dicurah demi memastikan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia hari ini sentiasa terpelihara.
Katanya, nikmat yang tersedia ini tidak datang bergolek, sebaliknya ia meriwayatkan satu perjuangan yang mempertaruh nyawa dalam mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi tercinta ini.
“Adalah diingatkan, agar rakyat tidak sesekali mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeliru dan mendatangkan kemudaratan terhadap keharmonian negara.
“Peranan rakyat Malaysia seharusnya bersama pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan maruah negara kerana ia merupakan tanggungjawab bersama.
“ATM dengan sokongan dan keprihatinan kerajaan serta rakyat akan terus dipersiapkan untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan,” katanya.
Menurut ATM, keupayaannya pada masa kini bukan sekadar mempertahankan kedaulatan negara, malah menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang dinaungi negara.
Terdahulu, Datuk Mohamaddin Ketapi memohon maaf berhubung video tular mendakwa beliau menghina anggota keselamatan berkaitan insiden pencerobohan Lahad Datu.
Bagaimanapun, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama di Lahad Datu itu mendakwa kenyataannya ketika berkempen di Kampung Wawasan itu disalah ertikan.
Dalam video tular itu, Mohamaddin antara lain mendakwa tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu tujuh tahun lalu, hanyalah sandiwara dan anggota keselamatan hanya berperang bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’. – Malaysiapost

