Pekerja binaan warga asing mesti terlatih

0
1

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN harus memantau penyusunan pekerja binaan yang diambil terutamanya dari kalangan warga asing, samada mereka cukup terlatih atau tidak untuk bekerja dalam projek pembinaan yang berisiko.

Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Dr Asmah Razalli berkata, risiko kemalangan jiwa di jalan raya melibatkan tapak projek amat tinggi jika faktor pekerja tidak diambil berat.

“Kementerian dan agensi terlibat perlu bertanggungjawab memastikan keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan sebelum memulakan sesuatu projek di jalan raya.

“Sudah sampai masanya Malaysia mencontohi negara negara maju dalam meningkatkan mutu keselamatan tapak projek terutamanya di jalan raya yang melibatkan jutaan pengguna setiap hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Susulan kejadian terbabit, wanita berkenaan terperangkap dalam kereta Proton Saga FLX dipandunya yang remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz satu meter persegi.

Menurut Dr Asmah, rata-rata projek pembinaan yang sedang giat berjalan di bandaraya Kuala Lumpur membenarkan laluan kenderaan berjalan di bawah binaan tinggi projek tersebut.

Katanya, ciri-ciri keselamatan yang ketat seperti jaringan bawah binaan perlu diambil kira kerana ianya melibatkan risiko nyawa pengguna jalan raya.

“Pemantauan yang lebih tegas serta efektif perlu bagi memastikan semua syarikat terlibat dalam projek naik taraf jalan tidak mengabaikan aspek keselamatan, juga tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.  -Malaysiapost