Konkrit jatuh: JKKP siasat 3 aspek

0
1

JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) menyiasat tiga aspek membabitkan keselamatan, aktiviti pembinaan dan kualiti struktur binaan susulan insiden konkrit struktur pembinaan jatuh dan menimpa kenderaan dipandu seorang wanita, semalam.

Ketua Pengarahnya, Ir Omar Mat Piah, berkata siasatan itu dilakukan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) (Akta 520).

Katanya, buat masa ini, JKKP sudah mengeluarkan arahan menghentikan kerja serta-merta di kawasan kemalangan bagi membolehkan pegawainya menjalankan siasatan.

“Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan. Kita kena periksa terlebih dahulu sama ada ketika kejadian, ada aktiviti pembinaan atau sebaliknya. Jika tiada aktiviti pembinaan, mungkin berpunca daripada kualiti dan pemasangan struktur kekal terbabit.

“Buat masa ini, arahan menghentikan kerja sudah dikeluarkan kepada kontraktor terbabit. Pegawai JKKP akan menyiasat insiden ini dengan menyeluruh bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya seperti dilapor BH.

Semalam, media melaporkan dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa konkrit dari struktur pembinaan yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan. -Malaysiapost