SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan melantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di negeri berkenaan.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, dalam kenyataan, berkata Sultan Johor berpendapat ketabahan, pengalaman luas dan mendalam Tunku Ismail amat berguna untuk golongan belia di negeri tersebut.
Baginda juga berpendapat Tunku Ismail berpengalamab dalam hal ehwal pentadbiran, selain berkebolehan serta mampu menjadi penjana kepada pembangunan belia, memimpin sekali gus membawa golongan itu ke mercu kejayaan.
“Tunku Mahkota Johor juga berjaya mengurus tadbir pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga mengharumkan Johor di persada antarabangsa.
“Sultan Johor yakin dan percaya dengan kepimpinan Tunku Ismail dan dengan kerjasama kerajaan negeri terhadap penyediaan infrastruktur serta sokongan padu belia, bangsa Johor akan berjaya memperkasakan jati diri bagi mencapai sasaran lebih cemerlang.
“Pelantikan Tunku Mahkota Johor sebagai pemimpin belia Johor membuktikan Sultan Ibrahim amat prihatin terhadap pembangunan belia dan menyedari golongan berkenan adalah penerus kesinambungan bagi meneruskan pembangunan dan kemajuan Johor selaras dengan aspirasi dan kehendak bangsa Johor, ” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim.
Abdul Rahim berkata, Sultan Johor turut meminta belia Johor daripada semua bangsa dan agama untuk bekerjasama memajukan Johor dalam suasana harmoni dan penuh perpaduan. – Malaysiapost


