BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) melakukan banyak pembohongan sepanjang kira-kira dua tahun mentadbir Sabah.
Sehubungan itu, beliau berkata rakyat Sabah harus menolak parti berkenaan dan sekutunya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini kerana ia tidak boleh lagi dipercayai.
“Kita perlukan kerajaan baharu kerana kerajaan sekarang banyak pembohongan, orang Semenanjung kata kelentong. Orang Sabah kata ‘buyuk’, sudah banyak ‘buyuk’.
“Saya suka sebut buyuk daripada bohong atau kelentong, sama macam saya suka bila sebut ‘palui’ daripada bangang atau bodoh,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat anjuran Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mengkabong, Tuaran.
PDM berkenaan adalah antara tujuh PDM dalam kawasan kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Dalit.
BN mencalonkan Timbalan Ketua Bahagian Umno Tuaran, Jasnih Daya untuk memenangi kerusi berkenaan pada 26 September ini.
Najib yang popular dengan panggilan Bosku berkata, beliau sanggup datang ke PDM berkenaan setelah seharian menyertai kempen di Pitas kerana yakin Pantai Dalit bakal dimenangi BN.
“Betapa susahpun saya tetap datang. Saya datang sini sebab ada peluang cerah calon kita menang, boleh sumbang satu kerusi dan ini boleh bantu bentuk kerajaan baharu di Sabah,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tetap sayang orang Sabah sama seperti ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
“Saya lawat Sabah lebih kerap daripada seorang Perdana Menteri yang memerintah 22 tahun. Bukan saja lawat saja tapi saya datang bukan dengan tangan kosong.
“Saya lulus peruntukan yang besar sebab dalam hati saya, saya ingin lihat Sabah maju, jangan Semenanjung saja lebih maju. Kita perlu percepat supaya Sabah setaraf dengan Semenanjung, itu visi saya dan BN dulu.
“Sebab itu saya usaha bina lebuh raya yang pernah dibuat oleh atuk (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan tol di Semenanjung tapi di sini Pan Borneo saya buat tiada tol. Kosnya RM16 bilion untuk fasa satu, ada fasa dua dan fasa tiga lagi yang akhirnya barangkali ada RM30 bilion semuanya.
“Maknanya, kita bukan cakap saja, bukan ‘dicapatikan’ atau kena buyuk. Kita buat dan sebahagian sudah dilaksanakan tapi tidak kesampaian. Syarikat rakan penyampai projek (PDP) dimansuhkan, ramai jurutera yang terdiri daripada anak watan Sabah dibuang kerja.
“Selama 26 bulan tergantung termasuk seorang jadi calon iaitu CEO PDP. Tapi kalau kita menang kita sambung balik dengan lebih cergas lagi,” katanya.
Tegasnya, jika BN tidak kalah pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan sebelum ini pasti terus memberi manfaat bagi mengurangkan masalah kemiskinan termasuk di Sabah.
“Kalau menang hari tu dapat RM2,000, mungkin bertambah lagi kalau sekarang. Tapi jangan kutuk kita beri BR1M sebab ada teori ekonomi kata ia memang praktikal.
“BR1M menyebabkan kadar pertumbuhan negara tinggi, malah lebih tinggi daripada Singapura dan kadar di Sabah juga lebih tinggi di Malaysia. Tapi apabila Warisan perintah Sabah ekonomi merudum, tinggal 0.5 peratus tahun lalu, Sabah lebih parah di bawah Warisan dan Pakatan Harapan (PH).
“Jadi, mana lebih baik, zaman BN kah atau PH, tentu PN lebih baik. Rakyat rindu BN sebab itu kita menang tujuh pilihan raya kecil (PRK) termasuk di Kimanis,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta pengundi di Sabah supaya membuat pilihan bijak dengan tidak mengulangi kesilapan lalu yang menyebabkan kehidupan rakyat di Sabah semakin terhimpit. -Malaysiapost

