PRN Sabah: ‘Kami mahu balai bomba’

0
1

PENDUDUK empat pulau – Danawan, Mabul, Omadal dan Selakan di Semporna mengimpikan balai bomba, bagi menangani kejadian kecemasan termasuk kebakaran.

Ketika ini, penduduk empat pulau berkenaan terpaksa menunggu ketibaan bomba dari Pekan Semporna yang mengambil masa lebih sejam perjalanan dengan bot, jika berlaku kecemasan.

Mereka juga mahu wakil rakyat dan kerajaan baharu yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) mewujudkan klinik desa, membina jeti khas selain menempatkan perkhidmatan bot penambang.

Penduduk Pulau Mabul, Ismail Kuban, 59, berkata sejak menetap lebih 30 tahun di pulau itu, beberapa kejadian kebakaran rumah berlaku menyebabkan penduduk tinggal sehelai sepinggang.

“Antara kebakaran besar pernah berlaku di sini melibatkan sebuah resort pada 18 Februari lalu, memusnahkan 10 rumah pekerja dan lapan bilik penginapan, selain sebuah rumah berhampiran,” katanya.

Antara penempatan penduduk di Pulau Mabul, Semporna

Beliau berkata, ketika ini penduduk tidak mampunyai pilihan dan terpaksa bertindak sendiri ketika berdepan kecemasan kerana sukar mendapatkan bantuan bomba.

Bagi Nuryati Nizam, 28, pengalaman melahirkan anak kembar perempuan enam tahun lalu adalah pengalaman sukar dilupakan.

“Di sini, tiada perkhidmatan feri atau bot penambang dan untuk bergerak ke mana-mana, kami biasanya menggunakan perahu dengan kapasiti enjin yang kecil.

“Mujur ketika hendak bersalin dulu, pemilik resort sudi membantu dan membawa saya ke Hospital Semporna,” katanya yang ketika ini mengandung tiga bulan anak ketiga.

Antara penempatan komuniti Palauh di Pulau Mabul, Semporna..

Pulau Mabul terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang, manakala Pulau Demawan, Omadal dan Selakan di bawah DUN Sulabayan.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Jaujan Sambakong, berkata kerajaan negeri sudah merancang untuk mewujudkan pasukan bomba atas air di Pulau Mabul.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan projek itu terpaksa ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19 selain pembubaran DUN, seterusnya memberi laluan kepada PRN, 26 Semptember ini.

“Insya-Allah, projek ini akan dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh pihak berkaitan dan perkara ini sudah dibincangkan bersama pengarah bomba Sabah,” katanya yang juga calon Warisan bagi kerusi DUN Sulabayan.

Calon Warisan DUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong melawat empat pulau di Semporna hari ini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pulau Mabul, Omadal dan Selakan hari ini. – Malaysiapost