130 maut kerana Covid-19

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

JUMLAH kematian disebabkan Covid-19 kini merekodkan 130 kes apabila seorang lagi dilaporkan meninggal dunia, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian ke-130 itu adalah dari kes ke-9,578 iaitu seorang lelaki warga emas berusia 82 tahun. 

Katanya, mangsa mempunyai penyakit strok serta sukar bergerak sendiri sejak Mac lalu akibat patah tulang utama di kaki.

“Beliau mengalami gejala demam pada 4 September lalu namun tidak mendapatkan rawatan dan pada 7 September beliau dikesan sebagai kontak rapat kepada anak dan cucu yang positif dalam Kluster Sungai.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah dan didapati positif pada 9 September lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 5.45 petang, semalam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata jumlah kes baharu Covid-19 hari ini meningkat sebanyak 20 kes merangkumi 17 kes tempatan dan tiga kes import.

“17 kes tempatan berkenaan membabitkan 14 warga tempatan iaitu sembilan di Kedah dan lima di Sabah. Manakala tiga bukan warganegara juga di Sabah.

“Secara keseluruhannya kes Covid-19 di negara ini sudah mencatat bilangan 10,167 kes,” katanya.

Noor Hisham berkata, sebanyak 51 kes sembuh baharu direkodkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes sembuh ketika ini adalah 9,315.

”Sehingga kini, terdapat 12 kes positif Covid- 19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan. -Malaysiapost