Suami Pavitra dilepas tanpa bebas

0
2

IPOH, 5 Jun -- Youtuber Masakan, S.Pavithra,28, (kiri) bersama suaminya M.Sugu,29 teruja selepas melihat video Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebut nama mereka semasa mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di seluruh negara hari ini. Nasi beriani kambing, kuah dal dan ayam varuval antara menu yang akan dimasak oleh pasangan YouTuber 'Sugu Pavithra' jika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkunjung ke rumah mereka. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

M SUGU, suami kepada Youtuber masakan, S Pavitra, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini daripada tuduhan mencederakan isterinya itu.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi, berikutan Pavithra mengangkat sumpah bagi menarik balik pertuduhan dengan rela tanpa paksaan dan ugutan ketika prosiding hari ini.

Memetik Bernama, peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah melepas dan membebaskan Sugu kerana saksi utama iaitu pengadu kes itu memaklumkan tidak akan meneruskan kes tersebut.

Namun, Liyana Zawani memohon mahkamah untuk melepas tanpa dibebaskan tertuduh daripada pertuduhan.

Ia mengambil kira kemungkinan pihak pendakwaan mempunyai keperluan atau sebab yang kukuh untuk menuduh semula.

Sugu, 29, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan kanan isterinya itu, menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, antara 4 hingga 6 petang pada 21 Julai lalu.

Selain itu, Sugu didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter kira-kira 6 petang pada tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan berkenaan, pihak pembelaan memberitahu akan menghantar surat permohonan representasi kepada pihak pendakwaan untuk mengkaji semula status kes dan meneliti semula pertuduhan terhadap Sugu.

Justeru, mahkamah menetapkan 22 Oktober depan sebagai sebutan semula kes untuk jawapan representasi. – MalaysiaPost