PRN Sabah: Pasar ikan bakar Sim-Sim kurang sambutan

0
2

BIARPUN jumlah pengunjung tidak mencecah ratusan orang sehari berbanding pilihan raya lalu, peniaga ikan bakar di pasar Sim-Sim di Sandakan tetap bersyukur kerana jumlah itu meningkat sedikit berbanding selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Peniaga berkata bermula minggu lalu jumlah pengunjung ke pasar itu meningkat lebih 50 peratus sehari, berbanding lingkungan 30 hingga 40 orang apabila pasar itu dibuka semula selepas PKP.

Peniaga, Masati Malulu, 59, yang berniaga sejak lebih 20 tahun di situ berpendapat, selain kesibukan berkempen, pengunjung kurang ke pasar itu mungkin disebabkan kebimbangan terhadap penularan Covid-19.

Katanya, tidak seperti pilihan raya lalu termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, kebanyakan yang berkunjung juga hanya penduduk setempat.

“Kalau sebelum ini kami sediakan 150 kilogram (kg) ikan sehari, sekarang jumlah itu untuk dua hingga tiga hari.

“Kebanyakan yang datang pun cuma orang di sini, manakala dari luar seperti Semenanjung atau orang politik boleh dibilang dengan jari.

“Mungkin semua sibuk berkempen atau bimbang makan di luar kerana Covid-19. Tambahan pula, kami sekarang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang saja mengikut peraturan ditetapkan Majlis Perbandaran Sandakan,” katanya.

Pasar Sim-Sim terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerusi DUN Tanjung Papat disandang Datuk Frankie Poon Ming Fung daripada DAP.

Pada PRN ini, Ming Fung yang mempertahan kerusi itu dicabar enam calon lain dalam saingan tujuh penjuru.

Ditanya harapan sebagai peniaga, Masati berkata, mereka berharap calon yang memenangi kerusi itu nanti mampu membawa suara rakyat termasuk golongan peniaga.

“Kami harap calon yang dipilih nanti boleh bantu golongan peniaga terutama untuk pulihkan ekonomi,” katanya sambil berharap Pasar Sim-Sim mampu menjadi tarikan pengunjung semula. – Malaysiapost