PKPD: Hijau Kuning tetap ceria walau tukar vanue latihan

0
1

LATIHAN skuad Hijau Kuning lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selepas pertukaran lokasi latihan dari Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) Alor Setar ke Stadium Mini Jitra di Kubang Pasu, sejak semalam.

Ini susulan daerah Kota Setar kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran sejak Jumaat lalu.

Pengurus pasukan, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan, berkata skuad Kedah menjalani latihan seperti biasa meskipun tempat latihan ditukar ke luar daerah.

“Alhamdulillah, sesi latihan yang kita jalankan semalam di Stadium Mini Jitra berjalan seperti biasa dengan lancar, lengkap dan teratur.

“Reaksi pemain tetap nampak ceria seperti biasa dan mereka nampak terus fokus dengan perancangan jurulatih untuk persiapan menentang Sabah di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, 21 September ini.

“Kita akur dan faham dengan semua arahan ditetapkan sepanjang tempoh PKPD ini dan mematuhi segala SOP ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) secara tersusun,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Al-Naliq juga berkata, latihan di Stadium Mini Jitra yang berada di luar kawasan Kota Setar akan berterusan sehingga PKPD secara pentadbiran ditamatkan.

“Latihan petang ini dibuat secara tertutup dan semua pemain dapat menyesuaikan diri dalam latihan dengan peralatan latihan yang mencukupi kerana kita ambil dari Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) ke sana.

“Dalam masa sama, KFA meningkatkan faktor keselamatan untuk pasukan apabila turut menyediakan anggota keselamatan yang mengawal semasa latihan dijalankan bermula jam 5 petang,” katanya.-Malaysiapost