DOJ berusaha jejak aset RM1.2 bilion terkait 1MDB

0
1

[ 1MDB ] Reuters melaporkan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha mendapatkan semula tambahan aset bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion) didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

DOJ dikatakan menjejak aset berkenaan daripada satu akaun escrow di United Kingdom (UK).

Pihak berkuasa Malaysia dan AS menganggarkan sejumlah AS$4.5 bilion wang 1MDB dicuri melalui perancangan terperinci yang turut dikaitkan dengan
bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan pegawai bank AS Goldman Sachs.

Bagaimanapun Najib telah menafikan dakwaan tersebut.

Menerusi aduan yang difailkan di California, AS, DOJ berkata wang AS$300 juta itu dikesan daripada aliran pinjaman jangka panjang syarikat Arab Saudi PetroSaudi Oil Services daripada syarikat minyak Venezuela Petroleos de Venezuela SA bagi projek usaha sama penggalian minyak.

Kedua-dua syarikat itu kini terlibat dalam pertikaian undang-undang berhubung dana itu yang dibekukan oleh mahkamah di Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa Britain.- Malaysiapost