SEORANG daripada gadis yang maut kerana keracunan gas karbon monoksida di Pulau Pinang awal pagi tadi berhasrat menempah kereta Proton X50.
Mangsa, Ayuni Shazwanie Shabri, 21, menyatakan hasrat itu kepada bapanya, Shabri Ahmad, 54.
“Arwah ajak saya menemaninya untuk buat tempahan tetapi hasratnya itu tidak kesampaian.
“Bagaimanapun, saya berniat akan cuba menunaikan hasrat arwah dengan membeli kenderaan tersebut,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Menceritakan semula, Shabri berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu keluar rumah kira-kira jam 2 petang semalam bersama tiga rakan karibnya.
Katanya, kira-kira pukul 9.15 malam semalam, arwah menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan kepada ibunya, Zalina Othman, 53, bahawa mereka berhenti di tempat kejadian kerana seorang rakannya pening akibat mabuk laut.
“Kami tunggu sehingga jam 11 malam dan dia masih belum sampai ke rumah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk mencarinya,” katanya.
Menurut Shabri, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia mendapati anaknya dan tiga rakan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Saya sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini, namun reda dengan ketentuan ini,” katanya.
Jenazah Allahyarham Ayuni Shazwanie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Petani pada jam 6.20 petang tadi.
Dua lagi rakannya turut meninggal dunia dalam kejadian itu.
Mangsa terbabit adalah Sharifah Fariesha Syed Fathi dan Nor Adilah Mohd. Safwan, masing-masing berusia 21 tahun.
Pasangan kembar Nor Adilah iaitu Nor Aqilah dilaporkan kritikal.- Malaysiapost

