Zizi Kirana kongsi makna Hari Malaysia

0
2

Nurul Huda Abhar

HARI Malaysia yang disambut pada 16 September saban tahun, memberi seribu makna kepada penyanyi wanita popular, Zizi Kirana yang bersyukur melihat keamanan negara yang dikecapi sekarang.

Zizi, anak kelahiran Semporna, Sabah merasakan penggabungan bersama Tanah Melayu , Sabah dan Sarawak harus dijaga kerana penyatuan  ini meliputi aspek besar yang merangkumi pelbagai kaum.

Pemilik nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil yang mula dikenali melalui program realiti televisyen, Akademi Fantasia turut menzahirkan perasaan bangga bergelar anak Malaysia, dan berpegang kuat dengan nama negeri kelahirannya, Sabah.

“Makna Hari Malaysia bagi saya adalah perkumpulan atau gabungan dari Borneo ke tanah semenanjung yang mana kita harus kekalkan perpaduan  itu.

“Secara peribadi saya bangga jadi rakyat Malaysia yang rakyatnya sangat baik, bersopan santun dan bersatu padu,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Kekal berkasih sayang

Bagi pelantun lagu “Eh” ini, beliau hanya mengharapkan keamanan dan kesejahteraan dikecapi rakyat selama ini berterusan.

Penyanyi berusia 35 tahun itu tidak mahu sebarang persengketaan wujud antara rakyat Malaysia walaupun berlainan bangsa dan warna kulit.

Zizi memaklumkan single baharunya bakal menemui peminat, bulan depan.

Sempena Hari Malaysia tahun ini, Zizi mahu masyarakat saling menghormati dan membantu antara satu sama lain kerana ramai pasti terjejas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

“Saya ucapkan selamat Hari Malaysia untuk seluruh rakyat Malaysia. Semoga kita terus kekal bersatu padu, berkasih sayang antara satu sama lain.

“Tidak kisah lah agama apa, budaya apa yang paling penting kita kena kekalkan kesejahteraan negara kita,” katanya lagi.

Single baharu

Bekas ahli kumpulan The Fabulous Cats itu juga memaklumkan kepada Malaysiapost mengenai single baharu yang bakal menemui peminatnya, Oktober depan.

Tambah Zizi, proses rakaman dan suntingan telah selesai dan kini menunggu persiapan akhir bagi menyiapkan lagunya itu.

“Insya-Allah bulan depan keluar single baharu, tengah plan (rancang) lagi tapi dah habis record (rakam) semua. Jadi bulan depan saya beri tahu di Instagram, katanya.

Katanya lagi, dia tidak membuat sebarang persembahan sempena Hari Malaysia tahun ini, hanya terdapat penggambaran untuk program Youtube kerana dirinya masih bersedih dengan kehilangan rakan karib, Allahyarham Sandra Dianne.

Hilang rakan karib

Menurut Zizi, kehilangan Sandra memberi impak besar kepada dirinya kerana dia antara insan yang berpeluang menatap wajah terakhir penyanyi itu di Hospital Putrajaya.

“Tak boleh gambarkan perasaan saya sebab masih terbayang wajahnya yang saya lihat kali terakhir. Masih terbayang-bayang lagi. Tak boleh cakap apa, kena redha sahaja. Itu saja. Saya doakan yang terbaik untuknya (Sandra) di sana,” ujarnya.

Menceritakan kenangan yang tidak boleh dilupakan adalah kebaikan Sandra yang mengambil berat ke atas dirinya semasa perlu menaiki kenderaan e-hailing bersendirian pada awal pagi untuk ke lapangan terbang.

Allahyarham Sandra sanggup menemaninya bersama rakan lain menaiki grab ke lapangan terbang dan berpatah balik semula ke hotel semata-mata tidak mahu membiarkan dirinya keseorangan.

“Saya kena naik grab. Sandra orang pertama yang cakap jangan naik teksi sorang-sorang. Dia kata kami teman kau naik grab pergi airport (lapangan terbang). Aku dengan band teman kau sampai airport dan balik.

“Saya rasa masa itu macam baiknya mereka ni. Itulah kenangan yang tak boleh lupa, manisnya dan baiknya Sandra. Sandra orang paling susah nak tengok dia marah.,” katanya.

Sandra yang mengalami kemalangan jalan raya dilaporkan koma dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Putrajaya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 11 September lalu. – Malaysiapost