Saya jumpa ketenangan yang tiada dalam bola sepak – Azmeer

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

“SAYA dapatkan rasakan satu keredhaan…hati yang tenang ni tak dapat dibeli walaupun sebelum ini gaji saya pernah mencapai lima angka.

“Saya dapat ketenangan ini yang tiada dalam bola sepak,” kata bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof.

Menerusi temubual khas bersama Malaysiapost, Azmeer yang berusia 30 tahun mendedahkan sekiranya memilih untuk bersara dari arena bola sepak, tiada apa yang perlu dikesalkan kerana beliau hanya mencari keberkatan dalam hidup.

Malah, Azmeer menyatakan keputusan menamatkan kontrak lebih awal dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tiada kaitan dengan isu kelewatan gaji.

Azmeer ketika mewakili pasukan Kedah.

“Masa saya ambil keputusan berhenti, saya tidak fikir sangat tentang gaji kerana perniagaan sedang ‘grow up’ dan ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sumber kewangan saya masih kukuh.

“Walaupun gaji empat, lima bulan tak masuk, saya masih boleh ‘survive’ cuma ada terfikir bola sepak ini adalah pekerjaan berisiko… ada rezeki orang lain dapat ‘team’ yang berterusan gaji ‘on’ tetapi saya dari 2014, 2015 sudah hadapi krisis gaji.

“Kehidupan saya ini ada tiga ‘team’ yang bagi pengalaman kepada saya yang bola sepak ini bukan selamanya indah. Jadi kita perlu bersedia. Jadi keputusan saya ambil (berhenti) untuk kukuhkan lagi perniagaan.

“Apabila kewangan kukuh… suatu hari nanti jika nak main bola semula, jika tak bayar gaji saya sekalipun, saya masih boleh ‘survive’ menerusi perniagaan,” katanya.

Azmeer akan membuka Pusat Pengajian Azmeer Yusof (PPAY) di Kedah yang kini 50 peratus siap.

Menceritakan detik bagaimana beliau terbabit dalam aktiviti amal, Azmeer berkata ia sudah lama dilakukannya cuma tidak dihebahkan.

Katanya, sebelum ini golongan memerlukan kerap meminta bantuannya dan pada masa sama pihak yang mahu membantu menghubunginya sebagai orang tengah.

“Awal tahun ini saya mencari guru untuk mengajar saya mengaji… bila seorang diri saya fikir apa salahnya kalau saya bantu orang lain. Bermula dari situ saya uar-uarkan di Facebook.

“Datang belajar secara percuma dan bermula dari situ saya dapat ilham untuk buka Pusat Pengajian Azmeer Yusof (PPAY) yang kini 50 peratus siap,” katanya yang menjangka pusat pengajian secara percuma itu dibuka awal Januari depan.

Katanya, bagi membantu golongan memerlukan, beliau amat berharap orang ramai dapat menyokong usahanya.

“Sebab itu saya minta orang ramai menyokong peniagaan saya. Melalui ini kita akan bantu orang ramai. Bukan sahaja dari membiayai pengajian secara percuma tetapi juga kepada mereka yang memerlukan.

“Sekarang ini saya membantu golongan memerlukan melalui perniagaan yang saya jalankan iaitu AY Barber Shop serta pakaian sukan jenama saya sendiri,” katanya.

Azmeer mahu balas jasa rakyat Kedah, negeri yang menjadi tempat dia meraih trofi sebagai pemain bola sepak.

Ditanya mengapa memilih Kedah sebagai lokasi PPAY sedangkan beliau dibesarkan di Kuala Lumpur, Azmeer berkata Kedah pasukan pertama menghadiahkannya trofi kejuaraan.

“Ini sahaja cara untuk saya balas balik kepada Kedah, negeri yang menaikkan nama saya, pasukan pertama memberikan piala dalam karier. Ini cara untuk saya membalas jasa rakyat Kedah,” katanya. – Malaysiapost

https://www.instagram.com/p/CEsjfTdFsgC/?igshid=1ojtopyw4ifi4