Rai juga Hari Malaysia di KL, bukan hanya di Sabah, Sarawak

0
2

Nilam Oshman

SAMBUTAN Hari Malaysia setiap tahun perlu diadakan secara bergilir-gilir di seluruh negara, khususnya di Semenanjung dan bukan hanya di Sabah dan Sarawak.

Sejak diraikan pada 2010 menerusi pengisytiharan cuti umum pada tarikh 16 September setiap tahun, sambutan Hari Malaysia hanya diraikan secara bergilir-gilir di Sabah dan Sarawak.

Bekas Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata beliau tidak setuju, malah tidak wajar sambutan Hari Malaysia hanya dirai penduduk Sabah dan Sarawak.

“Saya tidak setuju, kenapakah Hari Malaysia ini hanya harus disambut di Sabah dan Sarawak saja?

“Jadi ini sama sekali tidak wajar, kita harus bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara Persekutuan kerana Malaysia ini bukan hanya dibentuk oleh Sabah dan Sarawak.

“Tetapi bersama Tanah Melayu dan Singapura (keluar dari Persekutuan pada 1965),” katanya dihubungi Malaysiapost.

Dr Jeniri Amir

Sehubungan itu, beliau berkata, ketiga-tiga wilayah itu harus meraikan bersama secara bergilir-gilir setiap tahun, sekali gus semua rakyat dapat merasai kepentingan, keterangkuman dan kebersamaan.

“Sekarang seolah-olah Hari Malaysia hanya untuk orang Sabah dan Sarawak. Justeru, satu kesatuan yang menyeluruh perlu dilakukan agar Hari Malaysia disambut bergilir-gilir, juga mungkin satu tahun di Sabah, satu tahun di Sarawak, satu tahun lagi Semenanjung,” katanya.

Menurutnya, jika sambutan itu hanya dirai orang Sabah dan Sarawak, maka orang Semenanjung kemungkinan tidak tahu kepentingan Hari Malaysia.

“Hakikatnya tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak akan ada. Tetapi, itu bukan makna Hari Malaysia hanya diraikan oleh orang Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Dr Jeniri turut berharap mulai tahun depan Hari Malaysia ini diraikan dan dimulakan di Kuala Lumpur. – Malaysiapost