HARI ini ialah hari yang paling sedih dalam hidup saya, kata Muhammad Syukur atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’.
Remaja berusia 15 tahun itu berkata kerbau paling disayanginya mati kerana penyakit hawar berdarah sekitar jam 7 pagi tadi di tepi pagar kandangnya.
“Sedih melihat keadaan Semek yang sedang bunting anak keduanya itu mati kerana penyakit itu.
“Semek ialah kerbau yang paling manja dengan saya. Bayangkan saya mula menjaga kerbau itu ketika saya berusia sembilan tahun.
“Kerbau itu juga yang sering digunakan untuk merakam gambar yang cantik dan memenangi pertandingan gambar,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Muhammad Syukur berkata, kerbau kesayangannya itu dianggarkan berusia tujuh tahun dan disedari mati oleh kakaknya, Nor Ain Amirah, 20, yang datang ke kandang untuk memeriksa kerbau.
Remaja itu berkata, dia tidak menjangka kerbau kesayangan itu turut mati kerana penyakit itu.
“Semek tidak menunjukkan tanda sakit seperti selesema dan sebagainya, ia mati secara mengejut.
“Anaknya iaitu Along juga kerbau yang manja dengan saya tetapi Along sudah dicucuk antibiotik pada hari pertama.
“Semek tidak boleh dicucuk antibiotik kerana sedang bunting,” katanya.
Menurutnya, dia berasa sangat sedih tetapi tetap reda dengan ujian dan musibah yang menimpanya itu.
“Dalam keadaan sekarang memang berasa sedih tetapi apa boleh buat semuanya sudah ditakdirkan berakhir seperti itu.
“Saya hanya berharap sebahagian kerbau yang masih hidup itu tetap bertahan dan selamat daripada wabak berkenaan,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengesahkan lebih 30 ekor kerbau milik keluarga Muhammad Syukur diserang penyakit Heamoragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah. -Malaysiapost

