Tiga tahun tragedi: Panas, api, jeritan minta tolong masih terngiang-ngiang – saksi

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

LAUNGAN panas, api dan meminta tolong masih terngiang-ngiang sehingga kini di sanubari Ahmad Tirmizi Abdul Hamid.

Lelaki berusia 49 tahun itu mengakui, perasan sebak masih ada bila mengenangkan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang mengorbankan 23 nyawa, tiga tahun lalu.

Ahmad Tirmizi antara individu terawal yang menyaksikan kejadian itu dan berusaha membantu menyelamatkan anak-anak tahfiz.

Menceritakan semula detik itu kepada Malaysia Post, Ahmad Tirmizi berkata, dia ke surau Al Madrasatul Ittifaqiyah yang terletak bersebelahan pusat tahfiz kira-kira jam 5.30 pagi untuk solat subuh.

Ketika mengambil wuduk, dia terpandang cahaya terang dari arah bangunan tahfiz berkenaan.

Kebakaran tahfiz bermula sekitar jam 5.30 pagi.

“Saya terdengar anak-anak tahfiz menjerit meminta tolong, panas-panas… api-api….  dan baru saya sedar ada kebakaran. Saya menjerit kepada mereka suruh keluar dan segera turun.

“Saya cuba dapatkan alat pemadam api di dalam pejabat namun gagal kerana pintunya berkunci… rempuh pintu pejabat, juga gagal. Saya buntu dan tak tahu nak buat apa lagi.

“Saya mencari jalan untuk dapatkan mereka dan tiba-tiba seorang anak itu jatuh betul-betul depan mata saya, seorang lagi jatuh di belakang saya dengan api membakar badan mereka,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, sepanjang berusaha membantu dari awal hingga ke tengah hari, dia terlalu sebak dan sedih.

Dia yang tinggal hanya 200 meter dari tempat kejadian turut menyatakan masih trauma dengan kejadian itu.

“Saya tak boleh nak tengok tong gas, trauma kerana kejadian berkenaan disebabkan tong gas,” katanya. – Malaysiapost

Imbas kembali, anggota bomba menyusun mayat mangsa kebakaran tahfiz, tiga tahun lalu.