Nurul Huda Abhar
PARTI Perikatan Nasional (PN) menyelar tindakan pihak yang masih mempersoalkan status pendaftarannya dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai terdesak dan ketandusan isu dalam menghadapi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru bermula.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihak terbabit sebenarnya bimbang dan terancam apabila melihat penerimaan baik rakyat terhadap PN kebelakangan ini.
“Saya ingin menegaskan, pendaftaran PN telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 7 Ogos 2020 dan teratur mengikut Akta Pertubuhan 1966 seperti dilampirkan.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah meluluskan permohonan pendaftaran logo PN untuk digunakan sebagai lambang di atas kertas undi.
“Semua calon yang bertanding menggunakan logo PN telah diumumkan layak untuk bertanding pada hari penamaan calon 12 September lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Hamzah, PN akan terus memperkasakan jenteranya dalam memastikan kemenangan semua calon yang bertanding pada 26 September ini.
“Isu palsu yang berunsur fitnah dan berniat jahat tidak akan mempengaruhi keputusan pengundi untuk memilih PN sebagai parti yang prihatin membela rakyat,” katanya.
Pada masa sama, turut dilampirkan surat rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengesahkan pendaftaran simbol parti PN.
Surat bertarikh 28 Ogos lalu yang ditulis oleh Setiusaha SPR, Zakuan Abdul Halim ditujukan kepada Hamzah merujuk suratnya bertarikh 27 Ogos 2020.
“Adalah dimaklumkan SPR telah membuat keputusan untuk meluluskan permohonan parti PN bagi mendaftar simbol parti baharu.
“Dilampirkan bersama ini simbol parti yang telah diluluskan untuk makluman dan rujukan pihak Datuk Seri (Hamzah) sewajarnya,” tulisnya.
Ia susulan kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyatakan sesebuah parti hanya dibenarkan bertanding dan menggunakan lambangnya jika sudah berdaftar dengan JPPM. – Malaysiapost

