SYARIKAT pengeluar elektronik gergasi, Apple bakal menganjurkan majlis secara atas talian yang dikenali sebagai ‘Time Flies’, sekali gus wujud persoalan adakah Apple bakal memperkenalkan barisan peranti pintar paling popular iaitu iPhone 12 sempena majlis berkenaan.
Memetik Hmetro, sehingga kini, tiada maklumat tepat berhubung majlis berkenaan dan wujud tanggapan dalam kalangan warganet mengenai keterujaan mereka untuk melihat sendiri generasi baharu iPhone.
Bagaimanapun, beberapa portal teknologi terkemuka menafikan Apple bakal memperkenalkan iPhone 12, memandangkan ia ‘tidak menepati garis masa’ pengenalan peranti berkenaan.
Meskipun Apple sebelum ini menyatakan bahawa pengenalan iPhone 12 akan dilakukan pada Oktober depan, namun tidak mustahil syarikat berkenaan akan melakukan kejutan kepada pengguna.
Ia memandangkan majlis ‘Time Flies’ berkenaan dianggap ‘besar’ dan sekurang-kurangnya pengguna akan melihat pengenalan satu atau dua produk baharu termasuk Apple Watch Series 6.
Majlis tersebut juga dijangka mempersembahkan cip pemproses baharu iaitu Apple Bionic A14X untuk kegunaan peranti pintar syarikat berkenaan.
Secara tradisinya, pengenalan iPhone dibuat pada bulan September setiap tahun, namun pada tahun ini perkara berkenaan dijangka tidak berlaku dan besar kemungkinan pengguna akan melihat kemas kini produk peranti jam pintar serta iPad.
Teka teki itu bakal terjawab kurang 24 jam lagi apabila Apple mengadakan majlis secara maya secara global di Apple Park, Amerika Syarikat (AS). – Malaysiapost

