PRN Sabah: Kempen masih hambar, bahang belum terasa

0
1

KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawau dan Kalabakan yang bermula Sabtu lalu, masih hambar dan kurang meriah, malah bahangnya belum begitu dirasai.

Difahamkan, kes Covid-19 yang dilaporkan semakin meningkat di Tawau menerusi Kluster Benteng Lahad Datu (LD), menjadi antara punca orang ramai dan petugas parti mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Tinjauan Malaysia Post di bandar Tawau mendapati tidak banyak bahan kempen seperti kain rentang, gegantung, poster dan bendera dipasang.

Keadaan itu berbeza berbanding situasi biasa dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang sering berlaku perang poster dan bendera parti atau calon bertanding.

Selain itu, tinjauan mendapati papan iklan gergasi (billboard) di beberapa lokasi yang kebiasaannya menjadi pilihan dan rebutan calon bertanding masih kosong.

Bagaimanapun, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan beberapa parti tempatan dilihat antara yang sudah memasang poster dan bendera masing-masing di beberapa lokasi strategik di bandar Tawau.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat semalam seramai 3,408 individu disaring dengan 315 daripadanya positif Covid-19 termasuk 22 kes baharu melibatkan Kluster Benteng LD di Tawau.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Apas yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya tetap menggunakan pendekatan bertemu pengundi di lapangan selain kempen melalui media sosial.

“Apa yang lebih penting dalam keadaan wabak Covid-19 di Tawau, kita tidak lagi membuat perjumpaan secara besar-besaran dan kita berkempen secara bersemuka dari rumah ke rumah dalam kumpulan kecil.

“Sebenarnya kita ada strategi sendiri bagi memastikan momentum kempen berterusan sehingga ke kemuncaknya menjelang hari pengundian,” katanya ditemui semasa mengedarkan bahan kempen di Pasar Sri Tanjung, hari ini.

Jelas Nizam, aktiviti kempen akan terus diperhebat secara berperingkat selain mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), KKM dan polis. – Malaysiapost