PENGASAS Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut mendakwa beliau ‘dilamar’ untuk menjadi ahli politik.
Asri Janggut menerusi Facebooknya hari ini berkata, dia dilamar oleh pihak tertentu menyertai politik namun menolak pelawaan berkenaan.
“Bismillah… Assalammualaikum saya telah dilamar untuk join (sertai) politik, namun politik bukanlah bidang saya.
“Saya hanya memberi tumpuan kepada mereka yang mahu memajukan perniagaan, dan membantu orang yang perlukan pekerjaan,” katanya.
Katanya, dia hanya akan memberi fokus terhadap usaha melahirkan 3,000 usahahawan Bumiputra, memberi peluang pekerjaan dan membantu keluarga susah.
“Namun, saya berkerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak melibatkan politik demi membantu dan memberi khidmat nasihat bagi mereka yang memerlukan.
“Bagi mana-mana agensi di bawah kerajaan, koperasi, usahawan kecil, peniaga jalanan atau individu yang ingin mendapat khidmat nasihat dan ingin bekerjasama saya sedia membantu pada bila-bila masa demi kebaikan negara,” katanya.
Sebelum ini, Asri Janggut menggemparkan negara selepas memuat naik dua video menerusi siaran langsung di Facebooknya mendedahkan kewujudan premis perjudian dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh yang didakwa beroperasi tanpa sebarang tindakan, pada 8 Ogos lalu. – Malaysiapost

