Pencemaran air Selangor: 5 individu didakwa esok

0
2

Nurul Huda Abhar

LIMA individu akan didakwa di Mahkamah Seksyen Selayang esok, berkaitan kes pencemaran Sungai Gong di Rawang, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, susulan itu telah diputuskan pertuduhan ke atas empat lembaga pengarah dan seorang pengurus kilang yang terbabit kes pencemaran tersebut.

“Pertuduhan pertama ke atas lima tangkapan tersebut adalah di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan  dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Sementara itu pertuduhan kedua ke atas lima tangkapan ini adalah di bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, empat lagi tangkapan yang lain dibebaskan dengan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi.

Baru-baru ini, empat lelaki yang juga pemilik kilang direman selama enam hari selepas disyaki terbabit dalam pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Ia susulan pencemaran minyak daripada kilang itu pada 3 September lalu, menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Susulan itu, 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – Malaysiapost