KERAJAAN Arab Saudi membuka sebahagian sekatan kemasukan antarabangsa ke negara itu bermula esok.
Menurut sumber haramain.info, perancangan untuk membenarkan pelaksanaan Umrah akan diumumkan secara berperingkat oleh kerajaan negara itu.
“Kebenaran hanya diberi kepada beberapa kategori warganegara Arab Saudi dan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta bukan warganegara Arab Saudi berpandukan kepada langkah pematuhan pencegahan Covid-19.
“Kerajaan Arab Saudi akan mengumumkan cadangan mengangkat sekatan kemasukan sepenuhnya di semua pintu masuk 30 hari sebelum 1 Januari 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arab Saudi sebelum ini menggantung sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif menyekat penularan wabak Covid-19.
Kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan kepada pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas dengan Covid-19, berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi. – Malaysiapost

