PRN Sabah: 11 penjuru paling tinggi, tiada satu lawan satu

0
1

PILIHAN Raya Negeri Sabah (PRN) Ke-16 melakar sejarah tersendiri apabila tiada pertembungan satu lawan satu di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Paling sedikit pertembungan ialah tiga penjuru, itupun hanya di tiga kerusi dan paling banyak 11 penjuru, diikuti 10 penjuru, masing-masing di Bengkoka dan Inanam.

Pertembungan enam penjuru paling banyak berlaku kali ini membabitkan 26 kerusi, lima penjuru di 15 kerusi, tujuh penjuru (13 kerusi), lapan penjuru (enam), empat penjuru (lima) dan sembilan penjuru (tiga).

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata sebanyak 447 borang pencalonan diterima ketika penamaan calon dengan hanya satu ditolak kerana muflis.

Ini bermakna 446 calon layak bertanding dengan 90 peratus atau 404 calon lelaki diikuti 43 wanita, berumur 22 hingga 75 tahun.

Berdasarkan julat umur, Abdul Ghani berkata, calon paling ramai adalah berumur 50 hingga 59 tahun iaitu 149 orang, diikuti 60 tahun ke atas seramai 131, manakala 98 orang (40-49 tahun), 58 orang (30-39 tahun) dan 11 orang berumur antara 18 hingga 29 tahun. – Malaysiapost