Polis cari lelaki kendali hendal motosikal guna kaki

0
2

POLIS mencari seorang lelaki kerana melakukan aksi berbahaya, mengawal hendal motosikal ditunggangnya menggunakan kaki di Jalan Kuching, Kuala Lumpur.

Aksi lelaki itu tular di media sosial menerusi video berdurasi 41 saat memaparkan dia duduk di atas motosikal yang sedang bergerak sambil tangannya memegang sebungkus minuman.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata polis mencari lelaki terbabit dikenali sebagai M Thiruvarasu, 36, beralamat di Selayang Baru untuk membantu siasatan.

Zulkefly berkata, semakan mendapati motosikal terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 61 tahun.

“Berdasarkan alamat yang didaftarkan, anggota polis sudah pergi ke rumah terbabit dan mendapati motosikal itu digunakan anak lelakinya ketika kejadian.

“Ketika sampai di rumah itu, anak pemilik motosikal itu tidak berada di rumah dan usaha mengesannya giat dijalankan.

“Motosikal tersebut kemudian dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaPost