60 peratus pertukaran ‘guru duka lara’ diselesaikan

0
2

KIRA-kira 60 peratus permohonan pertukaran ‘guru duka lara’ seluruh negara telah dilaksanakan sejak 2016.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata ia diluluskan berdasarkan beberapa kriteria seperti kepentingan perkhidmatan, kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di negeri yang dimohon.

“Contohnya, guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak hendak bertukar ke Kelantan amat sukar kerana hanya kira-kira 100 sahaja ingin bertukar ke negeri lain berbanding 5,000 permohonan masuk ke negeri itu.

“Kita mencadangkan mereka (dari Sabah dan Sarawak) transit dahulu di Johor kerana ramai guru ingin keluar berbanding mereka yang ingin bertugas di negeri itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Muslimin berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memberi keutamaan kepada permohonan guru atas alasan mengikuti pasangan dan kes lain seperti sakit kronik dan ancaman keselamatan.

“Guru yang belum berkahwin boleh memohon pertukaran selepas 90 bulan, sementara guru sudah berkahwin memohon selepas tempoh 60 bulan,” katanya. – MalaysiaPost