PAS: Agenda PN lebih besar daripada Wawasan 2020

0
1

Muhammad Afiq

[ MUKTAMAR PAS ] AGENDA untuk meneruskan kesinambungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih besar berbanding Wawasan 2020 yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, langkah mengambil alih kerajaan yang dikosongkan oleh Pakatan Harapan (PH) bukanlah langkah spontan ataupun segera.

“Tetapi langkah sebelumnya yang panjang dan langkah selepasnya yang berwawasan melangkaui Wawasan 2020 yang telah tamat perjalanannya.

“Kerajaan PN hari ini menyambung suatu wawasan baharu yang sedang diisi dalam masa terdekat dan singkat menerusi kerajaan sementara ini, serta bersedia untuk membina sebuah kerajaan yang lebih kukuh melalui demokrasi dan menjadi pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Kita wajib menghadapi PRU15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan bagi menghadapi pilihan raya kali ini supaya kita tidak menjadi laksana lesung dan alu berlaga, ayam pula yang kenyang.

“Sekarang kita sudah tangkap ayam yang makan beras padi yang tumpah dahulu, maka jangan diulang lagi dalam PRU15 sehingga ayam pula terlepas, tangan pula berbau tahi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Muktamar PAS di Kota Bharu, pagi ini.

PAS kini menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas bekerjasama bersama Bersatu, Umno dan GPS membentuk kerajaan pusat yang baharu.

PN mengambil alih pentadbiran Putrajaya selepas kejatuhan kerajaan PH yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Februari lalu.

Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, PAS dan Umno adalah pencetus kepada perpaduan ummah di negara ini selepas kekalahan BN dalam PRU14 lalu.

“Kejutan dalam PRU14 yang lalu, telah berjaya menggerakkan usaha perpaduan ummah. Bermula dengan perpaduan bangsa menerusi penubuhan Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno.

“Kemudian diikuti kerjasama dengan gabungan kedua-dua parti. Penyatuan terus berlangsung dengan penyertaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kumpulan Islam yang meninggalkan PH dan juga kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

Katanya, usaha penyatuan itu membuahkan hasil apabila Putrajaya berjaya diambil alih setelah ditinggalkan oleh PH yang tidak mampu bertahan dan roboh akibat tindakan sendiri.-Malaysiapost