BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Jamawi Jaafar, sah bertanding semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Beliau dicalonkan atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakili Umno di kerusi DUN Melalap, di Tenom.
Semalam, beliau memuat naik hantaran dalam Facebook rasminya mengenai perasaan sedih tidak dapat bertanding semula di Kemabong.
Beliau dipindahkan ke Melalap bagi memberi laluan kepada Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Raime Unggi untuk bertanding di kerusi DUN Kemabong.
Nama Jamawi sebelum ini tidak disebut dalam senarai calon Umno ketika pengumuman oleh Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada Khamis.
Pencalonannya di DUN Melalap hanya diketahui beberapa jam selepas pengumuman yang dibuat oleh Bung dan berdasarkan hantaran dibuat Jamawi di dalam Facebook beliau.
Jamawi berdepan dengan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony yang akan mempertahankan kerusi itu.
Beliau juga terpaksa bersaing dengan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Radin Maleh yang turut bertanding di kerusi berkenaan.
Kerusi DUN Melalap adalah antara kerusi yang menyaksikan berlaku pertembungan sesama sendiri di antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) dan PBS.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Jamawi memenangi kerusi DUN Kemabong atas tiket BN tetapi keluar untuk menyokong kerajaan pimpinan Warisan sebelum keluar semula pada Julai lalu untuk menyokong cubaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mengambil alih kerajaan negeri.
