KKM teliti semula kuarantin wajib individu pulang dari Sabah selepas PRN

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti semula tindakan kuarantin wajib terhadap individu ke Semenanjung dari Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

“Sekarang ini belum ada keputusan (untuk kuarantin wajib). Kita akan buat kajian risiko setiap hari dan akan dibincangkan di Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Covid-19 juga bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Mengenai PRN Sabah, Dr Adham berkata pihaknya akan menggunapakai garis panduan pencegahan Covid-19 yang digunakan pada dua pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, iaitu PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang dan PRK DUN Slim, Perak.

Menurutnya, tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan semula sekatan perjalanan antara negeri-negeri setakat ini kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran yang dilakukan di beberapa kawasan berjaya membendung penularan lebih besar.

“Kita lihat trend Covid-19 berlaku di beberapa tempat sahaja. Kes tidak menyeluruh seperti peringkat awal, misalnya di Kota Setar dan Amanjaya di Kedah kita buat PKPD pentadbiran, dan kita berjaya bendungnya. 

“Ia juga untuk memastikan kita dapat saring kira-kira 15,000 orang di daerah Kota Setar,” katanya. -Malaysiapost