BARISAN Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah selepas berjaya membentuk kerajaan pada 26 September ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata gabungan itu akan bekerja sebagai satu pasukan yang sama-sama berjuang untuk memajukan Sabah.
“Semalam kita duduk bersama parti yang sudah sepakat berjuang untuk rakyat Sabah yang kita bela dan majukan.
“Saya nak umumkan bahawa keputusan dicapai untuk menamakan gabungan parti yang akan bersama perjuangan Pusat iaitu Gabungan Rakyat Sabah.
“Kami semua bersatu hati untuk bekerja sama-sama membentuk kerajaan selepas 26 September ini,” katanya di Tuaran pagi ini.
Beliau berada di Tuaran bagi memberi semangat kepada calon PN DUN Sulaman yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor sambil melakukan tinjauan mesra di pekan Tuaran.
Muhyiddin berkata, setiap parti dalam gabungan itu perlu mengenepikan perselisihan atau perasaan lama yang boleh menjejaskan kesatuan gabungan berkenaan.
“Kita perlu saling membantu antara satu sama lain, kita mesti bekerjasama dengan UMNO, PBS, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA.
“Tidak mungkin boleh membentuk kerajaan kalau PN saja menang. Gabungan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah sajalah yang boleh membentuk kerajaan yang kuat di Sabah,” katanya.
Beliau yakin gabungan itu jauh lebih hebat berbanding Parti Warisan Sabah (WARISAN) kerana tiada parti lain dapat menandinginya selagi PN mentadbir kerajaan Pusat yang dipimpinnya.
”Sabah juga mesti diperintah oleh kerajaan yang sama,” katanya.

