SULTAN Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah meminta rakyat bertenang serta tidak panik dengan gelombang kedua wabak COVID-19 yang melanda negeri itu.
Baginda bertitah, rakyat perlu berhati-hati dan patuh arahan yang ditetapkan kerajaan dengan sentiasa berada di rumah dan tidak keluar tanpa sebarang tujuan.
“Rakyat tidak boleh ambil mudah terhadap arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bertujuan memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terjamin.
“Jangan pandang remeh SOP yang ditetapkan kerana keingkaran kita untuk mematuhi SOP tersebut akan mendedahkan diri kepada bahaya dan risiko dijangkiti wabak COVID-19,” titah baginda menerusi kenyataan, semalam.
Semalam, Kerajaan memutuskan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Pentadbiran) di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah mulai tengah malam tadi hingga 25 September.
Berikutan itu kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bukit Kayu Hitam, Kedah dihentikan hingga tamat PKPD pentadbiran.
Malah, feri dari jeti Kuala Kedah tidak dibenar beroperasi sepanjang PKPD Pentadbiran daerah Kota Setar dikuatkuasakan.
Selain itu, masjid dan semua institusi pendidikan diarah tutup sementara aktiviti sukan, sosial dan budaya dilarang. -Malaysiapost

