PRN Sabah: SPR sedia Garis Panduan Pencegahan Covid-19

0
2

Nurul Huda Abhar

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 yang akan digunapakai sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Garis Panduan itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ketika ini.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, berkata ia meliputi pematuhan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan sanitasi tangan, saringan suhu badan yang direkodkan untuk semua aktiviti dan proses yang berkaitan PRN.

Beliau berkata, garis panduan ini akan dilaksanakan dengan ketat membabitkan semua proses pilihan raya termasuk taklimat petugas, penamaan calon, proses cetakan, semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan undi pos serta semakan isi peti undi.

Katanya, pelaksanaan garis panduan ini termaktub sepanjang masa berkempen, hari mengundi dan pengiraan rasmi undi.

“Proses penyerahan borang kertas penamaan akan berlangsung seperti mana proses penamaan calon sebelum ini. Namun semua calon tidak lagi dibenarkan berarak bersama penyokong atau mengadakan aktiviti berkumpulan.

“Hanya calon, seorang pencadang dan seorang penyokong sahaja dibenarkan memasuki pusat penamaan.

“Sepanjang tempoh berkempen, setiap calon yang bertanding dibenarkan membuka bilik jawatankuasa (bilik gerakan parti) dengan pematuhanan terhadap garis panduan ditetapkan ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata, kehadiran peserta aktiviti ceramah tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa tertakluk kepada keluasan ruang dan memastikan peserta mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Beliau turut menekankan permit daripada polis untuk aktiviti ceramah adalah wajib dan calon digalakkan memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media sosial.

“SPR melalui 73 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) akan memantau semua aktiviti calon ketika berkempen termasuk pematuhan terhadap Garis Panduan khas ini.

“Pada hari mengundi, semua pengundi diwajibkan menggunakan pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan cecair sanitasi tangan dan merekodkan serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Cecair sanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi pada hari mengundi. Pengundi perlu menggunakan cecair sanitasi tangan di empat stesen pusat mengundi.

“Ia termasuk di pintu masuk pusat mengundi, pintu masuk saluran, dalam saluran (proses proses mencelup jari dengan dakwat kekal sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi,” katanya.

Pada masa sama, pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

“Manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) boleh menggunakan kebenaran Kesihatan Daerah, untuk keluar sementara untuk mengundi,” katanya.

Beliau berkata, bagi pusat penjumlahan rasmi undi, calon yang bertanding dan penyokong calon yang menang akan muncul dalam jumlah yang minimum.

“SPR akan bekerjasama dengan polis untuk memantau pematuhan Garis Panduan khas ini.

“Kita juga akan mengemaskini Garis Panduan ini selaras dengan apa-apa arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Maklumat lanjut Garis Panduan ini boleh didapati di laman sesawang www.spr.gov.my,” katanya. – Malaysiapost