Muhammad Mustakim Ramli
SEBAIK sahaja memiliki The Red Warriors (TRW) Kelantan FC, Norizam Tukiman tidak mengambil masa yang lama untuk menuntut ilmu.
Menerusi perkongsian di Facebook, pemilik TRW itu memaklumkan beliau bertemu dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kelmarin.
“Alhamdulillah, syukur dapat berjumpa dengan Ikon revolusi pembangunan bola sepak Malaysia siapa lagi kalau bukan, Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
“Walaupun hanya beberapa jam, banyak juga aku belajar dari TMJ hari ni, lapan tahun pasukan bola sepak Johor dibangunkan dari pasukan biasa sehingga menjadi Juara Liga Super berturut-turut tanpa kalah.Pasukan luar negara juga kenal akan JDT hasil usahanya,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Norizam turut berterima kasih tidak terhingga kepada Tunku Ismail kerana sudi memperkenan dan melayan beliau.
“Alhamdulillah, semoga Tunku terus dapat menyumbangkan idea hasil pengalaman luar biasa dalam industri bola sepak Malaysia.
“Jangan main-main dengan Tunku sebab baginda tahu serba serbi akan bola sepak.
“Baginda teliti ,ambik tahu banyak benda pasal bola demi memastikan hasil kerja yang baik,” katanya. -Malaysiapost


