Pengeluaran rawatan kesuburan KWSP disambut baik

0
2

Nurul Huda Abhar

BEKAS Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Hannah Yeoh menyambut baik keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperluaskan Pengeluaran Kesihatan bagi membiayai kos rawatan kesuburan seperti yang diumumkan, semalam.

Beliau berkata, usul yang sebelum ini dibentangkan Kerajaan Pakataan Harapan (PH) itu, berhasrat untuk memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan.

“Dengan kos rawatan yang begitu mahal, perluasan pengeluaran kesihatan ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan bagi pasangan yang mahu mendapatkan rawatan kesuburan seterusnya meningkatkan kadar kesuburan di Malaysia.

“Polisi Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini yang mengutamakan institusi kekeluargaan telah menjadikan hasrat ini suatu realiti dan membuktikan pentadbiran singkat selama 20 bulan di Putrajaya tidak sia-sia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, KWSP meluluskan pengeluaran wang kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF).

KWSP membenarkan ahli yang menghadapi masalah kesihatan untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bagi membiayai kos perubatan penyakit kritikal dan/atau peralatan bantuan kesihatan, termasuk juga rawatan kesuburan. -Malaysiapost