Banjir kilat: Solat Jumaat di Masjid Jamek diteruskan

0
2

SOLAT Jumaat di Masjid Jamek, Kuala Lumpur hari ini akan dilaksanakan seperti biasa di sebalik banjir kilat menenggelamkan kawasan sekitar rumah ibadat itu, susulan limpahan Sungai Klang dan Sungai Gombak, semalam.

Malah, Ketua Imam Masjid Jamek, Ustaz Yahya Mahyuddin Utoh Said berkata, solat lima waktu sejak semalam termasuk Maghrib dan Isyak masih diteruskan kerana kawasan dalam masjid tidak terjejas.

Katanya, hari ini kerja pembersihan dilakukan di kawasan lapang dan pekarangan masjid yang dilimpahi banjir kilat.

“Pembersihan dilakukan kerana kawasan lapang yang dinaiki air ini adalah tempat untuk solat… di dalam masjid semua okay, air tak masuk ke dalam dan boleh solat,” katanya ketika ditemui Malaysia Post.

Ditanya keadaan banjir semalam, beliau berkata, ia perkara biasa cuma semalam menjadi ‘luar biasa’ kerana tular di Facebook.

“Air mula naik jam 5.20 petang pada paras buku lali di bahagian tepi masjid, kira-kira jam 5.45 petang, air sungai mula melimpah.

“Banjir mula surut kira-kira jam 7 malam dan kerja pencucian masjid terus dilakukan sehingga jam 11.30 malam tadi,” katanya.

Sementara itu, pekerja pembersihan masjid, Rana, 38, warga Bangladesh berkata, dia agak terkejut kerana air tiba-tiba naik hingga paras lutut.

Kerja pembersihan dijalanlan di sekitar Masjid Jamek Kuala Lumpur.

“Air banjir dekat depan masjid sampai lutut, tinggi juga,” katanya.

Hujan lebat beberapa jam petang semalam menyebabkan banyak kawasan di ibu negara mengalami banjir kilat, termasuk Masjid Jamek yang kelihatan seakan-akan masjid teraping. – Malaysiapost

Keadaan Masjid Jamek yang digenangi banjir kilat semalam.