Nurul Huda Abhar
PENDAKWAH bebas dan usahawan, Ebit Lew memulakan projek bank makanan (food bank) di cawangan rangkaian pasaraya miliknya, Elewsmart.
Beliau menyatakan hasrat untuk mewujudkan food bank telah lama terpendam dan kini akhirnya terlaksana.
“Doakan ya. FoodBank di semua cawangan Elewsmart ini menjadi asbab seramai mungkin orang dapat dibantu.
“Inilah antara niat saya mula-mula dulu buka Elewsmart. Ingin cawangan Elewsmart di setiap tempat. Di setiap Elewsmart ada FoodBank. Mereka yang benar perlu boleh ambil sahaja. Free (percuma) je,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Ebit atau nama penuh Ebit Irawan Ibrahim Lew memaklumkan sesiapa sahaja boleh mengambil makanan yang terdapat dalam food bank yang disediakanya.
Kata Ebit, 35, niat utamanya adalah untuk membantu insan yang kekurangan wang untuk makan, seperti dirinya dahulu.
“Tanpa mengira bangsa dan agama. Buat mereka ingin memberi juga boleh. Setiap hari Elewsmart akan letak semua barang asas di rak ini.
“Saya ingat dulu selalu tiada duit nak makan. Semua gaji niat beri dekat mak ayah di kampung. Sebab masa tu keluarga susah. Pernah sekali masa kerja orang selit RM2 dalam poket. Gembira sangat rasa. Sebab boleh makan nasi,” ujarnya.
Tambahnya, dia akan terus melipat gandakan usaha untuk membantu insan yang memerlukan.
“Kami juga akan terus cari mereka yang memerlukan untuk dibantu. Semoga Allah permudahkan semuanya.
“Saudaraku, disebalik ujian ada rahmat. FoodBank, Take What You Need, Give What You Can (Bank Makanan, Ambil apa yang anda perlu, Beri apa yang anda mampu), ” katanya.
Ebit telah membuka rangkaan pasar raya yang menawarkan harga murah di beberapa lokasi termasuk Sungai Buloh, Bandar Baru Bangi, Shah Alam, Balakong dan Damansara.
Sebelum itu, beliau sudah memiliki tiga buah restoran Paramount Coffee House dan sebuah butik Elews. -Malaysiapost

