4 sekolah di Tawau tutup 14 hari

0
2

EMPAT sekolah termasuk tiga sekolah rendah di Tawau, Sabah diarah tutup selama 14 hari bermula hari ini sehingga 25 September depan.

Penutupan itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, SK Jambatan Putih, SK Kukusan, dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jambatan Putih.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran mengesahkan arahan penutupan itu dan tindakan tersebut dibuat sebagai langkah pencegahan selepas dikaitkan dengan penularan wabak Covid-19 dari Penjara Tawau.

Petang semalam, tular di media sosial surat berkaitan penutupan sekolah yang berkuat kuasa serta-merta dikeluarkan guru besar sebuah sekolah rendah yang dipercayai untuk diedarkan kepada ibu, bapa dan penjaga murid sekolah berkenaan.

Menurut surat itu, arahan penutupan atas nasihat Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu adalah atas sebab keselamatan dan langkah berjaga-jaga daripada penularan wabak COVID-19.

Selain itu, ibu bapa juga turut diminta merujuk makluman di kumpulan WhatsApp kelas anak masing-masing bagi memastikan akses pembelajaran murid terus berjalan melalui kaedah pembelajaran secara dalam talian yang akan diaktifkan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri dalam sidang medianya, memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Pentadbiran) yang dilaksanakan di Penjara Tawau, berkuat kuasa 12.01 tengah malam tadi sehingga 25 September depan.

Beliau berkata, ia membabitkan banduan dan 114 anggota serta 355 ahli keluarga Jabatan Penjara di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara di sini yang kesemuanya akan menjalani ujian saringan Covid-19. – Malaysiapost