Ujian getir menanti pemilik TRW

0
2

PEMILIK The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman mungkin berdepan masalah untuk me­lakukan transformasi apabila perlu menyelesaikan tuntutan hutang lapuk mencecah hampir RM2 juta.

Difahamkan tuntutan itu membabit bekas tonggak pertahanan, Cassio de Jesus dari Brazil berjumlah RM629,620.28 dan dua bekas jurulatih, Marko Kraljevic (RM917,448) serta Sathit Bensoh (RM350,000).

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia, sekiranya gagal dilunaskan sebelum 30 September ini, Kelantan berdepan risiko digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

TRW juga berisiko diturunkan ke Liga M3 atau dibekukan daripada membawa masuk pemain baharu musim depan, walaupun baru sahaja diswastakan.

Sumber dalaman Kafa mendedahkan, surat arahan pembayaran yang dikeluarkan FIFA itu sudah sampai ke pengetahuan barisan exco badan induk tersebut sejak beberapa hari lalu.

“Tanggungjawab kini terpaksa digalas sepenuhnya oleh Norizam sebagai pemilik baharu TRW. Beliau sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah.

“Kafa sudah habis gas (tidak mampu) untuk melangsaikan hutang-hutang tersebut kerana ia jumlah yang cukup besar,” katanya. – Malaysiapost