Guan Eng desak Zahidi letak jawatan

0
2

Nurul Huda Abhar

DATUK Zahidi Zainul Abidin harus letak jawatan kerana melanggar etika kerja, profesionalisme dan mencemar maruah rakyat, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu berkali-kali memberikan maklumat palsu, suka menyalahkan orang lain untuk menutup kegagalan sendiri dan membuli pihak pengadu, walaupun pengadu tersebut berstatus pelajar berumur 18 tahun.

“Beliau sering menyarankan orang lain agar tidak menyebarkan berita palsu dengan ungkapan “Tidak pasti, jangan kongsi”. Akan tetapi beliau sendiri melanggari prinsip tersebut kerana telah berkongsi berita palsu berkaitan dengan kes pelajar Sabah yang berumur 18 tahun, Veveonah Mosibin.

“Selepas meminta maaf atas dakwaan palsunya bahawa Veveonah telah menipu, Zahidi pula menyatakan akan menyiasat perkara ini secara mendalam untuk menentukan kesahihan dakwaan Veveonah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, selepas mendapat kritikan orang ramai, Zahidi pula menyalahkan DAP, Lim Kit Siang, dirinya dan Hannah Yeoh kerana mempolitikkan isu ini.

Tambahnya, DAP tidak pernah berjumpa Veveonah dan hanya memberikan ulasan selepas Zahidi menyerang pelajar tersebut dalam Dewan Negara.

“Kini Kabinet sendiri mempersalahkan Zahidi sebagai tidak wajar dan tidak tepat dalam menangani isu ini.

“Hakikatnya, Zahidi tidak boleh salahkan siapa-siapa sekarang kerana tindakan itu bagaikan meludah ke langit terkena ke muka sendiri,” katanya lagi.

Beliau berkata, belum selesai isu Veveonah, Zahidi mengumumkan KKMM akan mengenakan bayaran perkhidmatan 20 sen bagi pembelian bawah RM1,000 di platform e-dagang dan tambahan 20 sen bagi gandaan RM1,000 berikutnya.

Katanya, kenyataan Zahidi itu menimbulkan reaksi negatif rakyat kerana dianggap perlu membayar dua kali caj perkhidmatan selepas bayaran bagi capaian Internet.

Guan Eng menambah, berikutan itu KKMM mengeluarkan kenyataan rasmi semalam menafikan ada cadangan caj perkhidmatan kerana perkara ini tidak pernah dibincangkan.

“Dengan kenyataan KKMM, adakah ini bermakna bahawa Zahidi membuat kenyataan yang palsu? Sekali lagi beliau melanggari saranannya sendiri, ‘Tidak pasti, jangan kongsi’ .

“Memandangkan Zahidi telah hilang kredibiliti awam, adalah perlu seorang lain yang lebih berwibawa dan berkemampuan menggantikannya sebagai Timbalan Menteri,” ujarnya – Malaysiapost