PETUGAS kesihatan dari negeri lain mungkin dibawa ke Kedah jika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran bagi Kluster Sungai dan Telaga dilaksana dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ini kerana kemungkinan berlaku kekurangan kakitangan kesihatan bagi menjalankan saringan Covid-19 dalam kalangan penduduk.
Menurutnya, sebelum ini terdapat tambahan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibawa dari negeri berdekatan bagi membantu melancarkan proses terbabit serta membantu kakitangan kesihatan sedia ada.
“Seperti PKPD Secara Pentadbiran di Amanjaya, terdapat petugas kesihatan dari daerah lain yang tidak terjejas membantu, malah ada petugas dari Pulau Pinang, Perak dan Perlis dihantar ke sini.
“Kita sudah bersedia sekiranya kerajaan Pusat mengumumkan pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran di kawasan jangkitan Covid-19 bagi Kluster Sungai dan Telaga.
“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan mohon petugas tambahan dari negeri lain untuk bantu petugas sedia ada,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Dr Mohd Hayati turut meminta penduduk di kawasan itu tidak panik, sebaliknya terus berdisiplin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tambahnya, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Covid-19 telah mengemukakan beberapa syor kepada MKN.
“Kita tunggu keputusan MKN sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak di kawasan berkenaan.
“Ketika ini, penduduk khususnya di kawasan terjejas dilarang keluar rumah sekiranya tiada keperluan,” katanya. – Malaysiapost

